Menyelusuri Evolusi Aksara Melayu
Traces the evolution of Malay scripts, such as the Pallava, Kawi, Jawi and Roman scripts. It also illustrates how the interactions of the Malay people with major civilisations had impacted the evolution of these scripts.
Bahasa Melayu pemah pada suatu masa dulu menjadi bahasa perantaraan ataupun lingua franca di daerah Asia Tenggara. la juga telah melalui pelbagai perubahan semenjak ia digunakan sebagai alat perhubungan. Begitu juga dengan sistem tulisan bahasa Melayu yang juga disebut sebagai aksara Melayu. Sejak zaman-berzaman, pelbagai jenis aksara telah digunakan oleh orang Melayu.
Menurut Collins (1997: 52):
Suku-suku Asia Tenggara yang memiliki sistem tulisan dihormati oleh petualang barat yang mula-mula mengunjungi bandar-bandar utama Nusantara pada abad yang keenam belas. Dan sesungguhnya di setengah-setengah wilayah Asia Tenggara terdapat kadar keberaksaraan yang amat tinggi, bahkan mungkin lebih tinggi daripada kadar yang terdapat di kalangan masyarakat Eropah pada zaman itu (Reid 1988). Bahasa Melayu dikagumi bukan saja kerana berfungsi di merata bandar Nusantara tetapi kerana bahasa Melayu ditulis.
Perkembangan aksara-aksara yang pernah digunakan adalah akibat daripada pengaruh dan perhubungan mereka dengan pelbagai tamadun besar pada masa lalu. Dari satu sudut, ia juga jelas mencerminkan tentang keupayaan dan kesudian orang Melayu menghadapi perubahan serta mengubahsuaikan unsur-unsur asing untuk keperluan dan kemajuan mereka. Ini jelas terlihat tatkala kita menyelusuri dan meneliti evolusi aksara Melayu.
Pengaruh Hindu-Buddha Aksara Pallava Dan Kawi
Antara bukti terawal yang menunjukkan sejarah tulisan di Kepulauan Melayu ialah inskripsi batu Raja Mulavarman yang dianggarkan bertarikh 400 masihi. Menurut Prof Hashim Musa (1997: 28), “antara tulisan Pallava terawal yang melambangkan bahasa Melayu dijumpai pada abad ketujuh Masihi ialah inskripsi Srivijaya di Kedukan Bukit 683 Masihi, Talang Tuwo 684 Masihi dan Kota Kapur, Pulau Bangka 686 Masihi.” Skrip Pallava mempunyai banyak persamaan dengan skrip yang digunakan sewaktu pemerintahan kerajaan Pallava di India.
Inskripsi Punavarman dari Taruma juga telah dijumpai di Jawa. Inskripsi dalam skrip Pallava Awal ini telah menggunakan bahasa Sanskrit. Selain itu, beberapa inskripsi lain yang ini juga telah ditemui di Kedah, Malaysia.
Berkenaan dengan aksara Kawi, ada pendapat yang menolak teori bahawa ia timbul daripada perkembangan aksara Pallava yang terdapat di Jawa dan Sumatera. Di dalam bukunya, Epigrafi Melayu: Sejarah Sistem Tulisan dalam Bahasa Melayu (1997: 28), Hashim Musa telah menukil Jensen, yang berpandangan bahawa aksara Kawi bersumberkan sejenis skrip Pali yang dinamakan Pali Kyoktsa atau “Pali square script” yang berasal daripada Brahmi Purba. Terdapat beberapa inskripsi yang ditemui seperti menunjukkan dengan jelas bahawa bahasa Melayu Tua telah menggunakan jenis skrip Kawi pada abad kesebelas dan kedua belas Masihi sesudah skrip Pallava.
Namun, sebuah inskripsi pada batu nisan di Minyak Tujuh aceh, bertarikh 1380 Masihi menunjukkan tentang pengaruh bentuk skrip Arab yang mula meresap ke dalam sistem tulisan di Kepulauan Melayu.
Pengaruh Islam - Aksara Jawi
Proses pengislaman telah memberikan kesan yang besar dalam perkembangan bahasa Melayu, iaitu penggunaan dan penyesuaian skrip Arab sehingga menjadi skrip Jawi untuk mengeja bahasa Melayu. Menurut Hashim Musa (1997: 5), melalui skrip inilah:
Kitab-kitab agama Islam dan jenis-jenis persuratan yang lain lag! misalnya surat perjanjian, perutusan, undang-undang, sastera, perubatan, perkapaian, jual-beli, dan lain-lain telah ditulis ke dalam bahasa Melayu sama ada hasil asli ataupun terjemahan dan tulisan-tulisan itu telah tersebar luas di Asia Tenggara termasuk seluruh kepulauan Melayu.
Sebahagian inskripsi terawal yang menunjukkan penggunaan tulisan Jawi telah di temui di Champa, Pahang, Brunei dan Jawa. Inskripsi-inskripsi ini bertarikh seawal abad kesebelas. Namun, secara umum para pengkaji berpendapat, Batu Bersurat Terengganu, yang bertarikh abad empat belas telah diterima sebagai inskripsi terawal yang menggunakan tulisan Jawi. Walaupun ia memaparkan perintah untuk mematuhi agama Islam, tetapi undang-undangnya yang tertulis masih lagi mencerminkan unsur-unsur falsafah sebelum kedatangan Islam.
Antara contoh unsur-unsur sebegini yang dapat dilihat sebagai ciri pada Batu Bersurat ialah penggunaan perkataan-perkataan Sanskrit yang banyak, dan ejaan Jawi telah diolah untuk “membunyikan perkataan Sanskrit itu sehampir yang mungkin yang menyebabkan penggunaan huruf-huruf alif, wau dan ya (4) sebagai huruf vokal pada akhir suku kata yang amat kerap yang unik bagi Batu Bersurat Terengganu ini’ (Hashim, 1997: 15).
Batu Bersurat Terengganu membuktikan dengan jelas bahawa sistem ejaan Jawi telah mencapai kesempurnaannya dari segi perkembangannya. Lima huruf baru yang dipadankan daripada huruf Arab untuk melambangkan bunyi-bunyi Melayu iaitu, cha, nga, pa dan nya sudah tercipta dan digunakan sepenuhnya. Pada tahun 1996, satu lagi huruf telah ditambah untuk melambangkan bunyi v, sebagai usaha untuk menyesuaikan penggunaan jawi dengan bahasa Melayu kini.
Pengaruh Eropah - Aksara Rumi
Kedatangan orang-orang Eropah telah sekaligus juga membawa tulisan Rumi ke rantau ini. Tetapi usaha untuk meluaskan penggunaanya hanya dilakukan oleh pihak British pada awal abad kedua puluh. Banyak buku-buku sastera lama yang telah ditransliterasikan kepada tulisan Rumi oleh R J Wilkinson, yang menjawat tugas sebagai Inspektor Sekolah-Sekolah Federal, pada waktu itu. Selain itu, terdapat juga perkembangan yang meningkat terhadap penggunaan mesin-mesin cetak yang dibawa dari Eropah. Ini mengembangkan industri percetakan di rantau ini.
Penutup
Setiap aksara yang pernah digunakan orang Melayu sama ada Pallava, Kawi, dan kini Jawi atau Rumi menjadi saksi dan bukti tentang kemampuan masyarakat ini. Kesemua aksara-aksara ini telah digunakan untuk berbagai jenis keperluan perhubungan dan pengurusan. Selain itu, ia juga telah melahirkan karya-karya yang sehingga kini masih sesuai dan menjadi warisan yang tidak ternilai kepada masyarakat. Sesuailah seperti menurut Prof Datuk Dr Siti Hawa Salleh (2006), pada tahun 1726, Francois Velentijin telah menyuarakan kekagumannya terhadap masyarakat Melayu yang bukan sahaja mempunyai tulisan (aksara) malah menggunakan aksara itu untuk menghasilkan karya-karya dan duduk pula berkumpul beramai-ramai mengelilingi seorang pembaca memperdengarkan suaranya.
This article traces the evolution of the Malay scripts, such as the Pallava, Kawi, Jawi and Roman Scripts. It also illustrates how the interaction of the Malays with the major civilisations then had impacted the evolution of the scripts which left an indelible mark in history.
Reference Librarian
Lee Kong Chian Reference Library
National Library
RUJUKAN
Hashim Musa, Sejarah Perkembangan Tulisan Jawi (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1999). (Call no. Malay R 499.2811 HAS)
Hashim Musa, “Sejarah Awal Kemunculan dan Pemapanan Tulisan Jawi di Asia Tenggara,” in Tradisi Penulisan Manuskrip Melayu (Kuala Lumpur: Perpustakaan Negara Malaysia, 1997). (Call no. Malay R 499.2811 TRA)
Hashim Musa, Epigrafi Melayu: Sejarah Sistem Tulisan dalam Bahasa Melayu (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1997). (Call no. Malay RSING 499.2811 HAS)
James T. Collins, “Ciri-Ciri Bahasa Melayu Abad Ke–17,” in Tradisi Penulisan Manuskrip Melayu (Kuala Lumpur: Perpustakaan Negara Malaysia, 1997). (Call no. Malay R 499.2811 TRA)
Siti Hawa Salleh, Genre Kesusasteraan Hikayat: Perkembangan Suatu Bentuk Kesusasteraan [Dibentangkan di Seminar Antarabangsa Manuskrip Melayu, Melestarikan Manuskrip Melayu Warisan Agung Bangsa, 10–11 Julai 2006, Kuala Lumpur. Anjuran Perpustakaan Negara Malaysia, Arkib Negara Malaysia dan Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan Malaysia, 2006]. (Call no. Malay RSEA 016.09109595 SEM)